Saturday, June 6, 2009

Tingkat produktiviti agenda utama




Malaysia perlu pastikan industri sawit terus berkembang, berdaya saing: Bernard 

BANGI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan menjadikan peningkatan produktiviti minyak sawit sebagai agenda utama bagi memastikan industri terus berkembang dan berdaya saing di pasaran global. 

Purata pencapaian dan peningkatan keluaran minyak sawit tahunan negara masih tidak dapat dibanggakan, walaupun pada masa sama Malaysia dilabel sebagai peneraju dan pengeksport utama minyak sawit dunia.

Pada 2008, purata pengeluaran adalah 4.08 tan sehektar meningkat hanya 0.25 peratus daripada 3.83 tan yang dicapai pada tahun sebelumnya. Tahun 2005 dan 2006, purata pencapaian adalah masing-masing 3.80 dan 3.93 tan sehektar. 


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Seri Bernard Dompok, berkata demikian pada sidang media ketika lawatan rasmi pertama beliau ke Ibu Pejabat MPOB di sini baru baru ini. 

Turut hadir dalam lawatan itu, timbalan beliau, Datuk Hamzah Zainuddin, Ketua Setiausaha, KPPK, Datuk Wira Ismail Saleh, Timbalan KSU 1, Nurmala Abdul Rahim, Pengerusi MPOB, Dato’ Sabri Ahmad, Ketua Pengarah MPOB, Dato’ Dr Mohd Basri Wahid dan SUB MSLS, M.Nagarajan.

Tan Sri Bernard berkata, kita akan mencari formula baru untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos bagi setiap hektar tanaman sawit yang sedia ada memandangkan kita sudah tidak mempunyai banyak lagi kawasan untuk tanaman sawit. 

”Kita perlu menggunakan teknologi dan inovasi moden yang bersesuaian untuk tujuan itu termasuklah membantu pekebun kecil sawit yang masih rendah produktiviti dan menangani masalah harga baja yang tinggi.” 

”Malaysia pada 2008 mempunyai keluasan tanaman sawit berjumlah 4.49 juta hektar dengan pengeluaran minyak sawit berjumlah 17.734 juta tan dan mencapai kadar perahan minyak (KPM) 20.21 peratus.” 

”Jumlah eksport pula sebanyak 21.75 juta tan berbanding 19.6 juta pada tahun sebelumnya dengan nilai RM65.2 juta atau meningkat 44.3 peratus daripada 45.16 juta tan berbanding tahun 2007.”

Beliau berkata, Kementerian akan berusaha dan melalui kerjasama industri berhasrat meningkatkan kuantiti pengeksportan minyak sawit dan produk berkaitanya sebanyak 20 hingga 30 peratus pada tahun ini berbanding tahun lepas. 

”Kita menjangkakan pendapatan eksport negara daripada minyak sawit akan menyusut berbanding dengan nilai yang dicapai tahun 2008 memandangkan harga komoditi ini yang lebih rendah pada tahun ini.” 

”Kita juga tidak menjangkakan harga minyak sawit akan meningkat tinggi seperti yang berlaku pada tahun 2008. Kita menganggarkan, ia akan berkisar di antara RM2,600 hingga RM2,800 satu tan bagi tempoh tiga hingga lima bulan akan datang,” katanya. 

Bagaimanapun beliau yakin harga minyak sawit masih kompetetif dan keadaan dirangsang dengan jumlah stok minyak sawit yang merekodkan penurunan sehingga 1.29 juta tan pada April lalu berbanding dengan 2.3 juta tan yang pernah direkodkan pada akhir tahun lepas. 

Ketika lawatan di MPOB, beliau telah diberi taklimat mengenai aktiviti dan pencapaian agensi ini dalam menjana kemajuan industri sawit oleh Ketua Pengarah, Dato’ Dr Mohd Basri Wahid dan melawat Galeri Sawit serta Loji Rintis produk makanan berasas sawit.

Berita Sawit 

Berita Harian 6 JUN 2009

No comments:

Post a Comment