PERUBAHAN gaya hidup, tabiat pemakanan dan keadaan alam yang tercemar menjadi faktor kepada penyakit jantung, diabetis dan kanser.
Sedar akan bahaya yang menimpa, masyarakat turut mengambil berat berhubung penjagaan kesihatan dan mengambil langkah menjaga pemakanan menerusi pengambilan khasiat tambahan bagi melindungi diri daripada risiko penyakit berkenaan.
Bagi melindungi daripada risiko serangan penyakit berkenaan, bahan bioaktif daripada sawit adalah paling sesuai. Kajian selama 10 tahun yang dibuat terhadap bahan ini menunjukkan ia adalah lebih baik berbanding bioaktif dari sumber lain.
Sumber bioaktif sawit seperti tokotrienol, karotenoid dan phenolik, adalah antara bahan ramuan yang mengandungi khasiat yang tinggi dan mempunyai bioefikasi yang berpontensi untuk membantu mengurangkan beban risiko penyakit berkenaan.
Timbalan Menteri, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin berkata, Malaysia tidak hanya menjadi pengeluar dan pengeksport produk minyak sawit mentah dan bertapis tetapi kini berusaha menghasilkan bioaktif sawit dan memasarkannya di pasaran global.
“Tokotrienol yang terkandung dengan banyaknya dalam minyak sawit juga adalah antioksidan penting untuk tubuh badan manusia dan boleh digunakan bagi membantu mencegah penyakit kardiovaskular dan melambatkan proses penuaan.
“Disebabkan kandungannya di dalam nutraseutikal dan kosmeseutikal memainkan peranan penting dalam memastikan gaya hidup lebih sihat, kerajaan akan memperbanyakkan kajian dan pembangunan (R&D) bioaktif dalam minyak sawit menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Antara kajian yang sedang dijalankan kini termasuk penyelidikan antikanser dan modulasi kolesterol hasil kerjasama dengan beberapa institusi lain.
“Walaupun industri ini sedang berkembang pesat namun proses dan paten baru mesti dibangunkan bagi mengurangkan kos produksi sekali gus memenuhi permintaan baru melalui kaedah yang lebih mesra alam.
“Perniagaan berkaitan Nutra-Kosmeseutikal sangat kompetitif dan pengusaha produk berasaskan bahan ini perlu bersaing dengan pengeluar lain yang ada di pasaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Nutra-Kosmeseutikal Sawit (PINC 2009) anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Kuala Lumpur.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi MPOC, Datuk Lee Yeow Chor dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Yusof Basiron.
Acara selama dua hari itu menampilkan 16 penceramah yang membentangkan kajian berhubung kepentingan tokotrienol, karotenoid dan phenolik.
PINC 2009 disertai oleh pengeluar, pengimport dan pengeksport produk nurtaseutikal dan komeseutikal, ahli akademik, pakar kesihatan serta semua yang terbabit di dalam industri nutraseutikal dan kosmeseutikal.
Persidangan itu yang bertemakan ‘bioaktif untuk gaya hidup sihat - khasiat tersembunyi minyak sawit’ dipilih untuk memberi pengiktirafan kepada fungsi positif bioaktif sawit seperti vitamin E-tokotrienol, karoten dan phenolik, yang terkandung di dalam bahan makanan dan barangan penjagaan diri yang terdapat di pasaran.
Antara kertas kerja yang dibentangkan pada persidangan itu membincangkan kelebihan tokotrienol berasaskan minyak sawit, tokorienol sebagai bahan pencegah kanser dan kepentingan dalam aktiviti biologikal.
Hamzah berkata, perniagaan berkaitan Nutra-Kosmeseutikal sangat kompetitif dan pengusaha produk berasaskan bahan ini perlu bersaing dengan pengeluar lain yang ada di pasaran.
Sehubungan itu, penganjuran PINC ada satu cara untuk mewujudkan kesedaran dan mempromosikan kepentingan bahan bioaktif sawit bukan saja di Malaysia tetapi di pasaran antarabangsa.
“Persidangan mengenai nutraseutikal dan kosmeseutikal berasaskan sawit ini adalah pertama kali di adakan bukan saja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa dan dihadiri oleh penceramah dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Australia.
“Pengeluar di negara ini perlu mengambil inisiatif mendidik pengguna dan menghebahkan kebaikan pengambilan vitamin berasaskan sawit iaitu Vitamin E, karotin dan phenolik yang jauh lebih berkesan berbanding dengan pelbagai produk import lain,” katanya.
Hamzah berkata, eksport minyak sawit di negara ini menyumbangkan sejumlah RM65.2 billion dan Malaysia kini melangkah ke satu tahap lagi apabila turut mengekstrak bioaktif dalam tumbuhan itu sebelum dipasarkan di seluruh dunia.
Sehubungan itu, tumpuan kini diberikan kepada usaha mempertingkat pengeluaran sawit termasuk membuat kajian bagi mengenalpasti cara yang boleh menghasilkan lebih banyak pengeluaran berbanding yang ada sekarang.
Dengan pendekatan ini, diharapkan Malaysia terus menjadi penyumbang terbesar bagi memenuhi keperluan minyak sawit global.
“Saya percaya pembangunan dan peningkatan menyeluruh dalam industri hiliran termasuk bioaktif akan meningkatkan lagi permintaan terhadap komoditi dan sekali gus meningkatkan lagi nilai tambah terhadap sawit dan akan menjadikan industri ini mampu bersaing dengan minyak berasaskan sumber lain,” katanya.
Berita Sawit
Berita Harian 6 Jun 2009

No comments:
Post a Comment