Saturday, June 20, 2009

Pasaran kayu lepasi RM7.6 bilion

KUALA LUMPUR 19 Jun - Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menjangkakan nilai pasaran produk kayu di negara ini akan melepasi RM7.6 bilion pada tahun ini berikutan permintaan yang tinggi.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, permintaan yang tinggi itu disokong oleh projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan dan swasta serta permintaan dari pengguna yang semakin mengutamakan keindahan keluaran produk semula jadi.

"Peranan pasaran tempatan dalam perkembangan sektor perkayuan di negara ini telah menjadi penting selari dengan pembangunan pesat dan ia telah membuka mata pihak industri yang selama ini amat selesa untuk mengeksport sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sambutan ulang tahun MTIB ke-36 dan majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang di sini hari ini.

Turut sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Wira Ismail Salleh dan Ketua Pengarah MTIB, Dr. Jalaluddin Harun.

Menurut Hamzah, nilai eksport bagi produk kayu tahun lalu sebanyak RM22.79 bilion dan pada sehingga Mac lalu nilai eksport adalah sebanyak RM4.1 bilion.

Katanya, walaupun industri mencatatkan jumlah eksport RM4.1 bilion namun ia merupakan penurunan sebanyak 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, industri berasaskan kayu terus kekal menjadi antara penyumbang utama perolehan sektor komoditi negara dan walaupun jumlah tersebut rendah ekoran krisis kewangan global, kerajaan yakin industri tersebut mampu bangkit semula.

Beliau berkata, MTIB telah menjalankan pelbagai usaha bagi menjadikan industri berasaskan kayu terus kekal bersaing dan relevan pada setiap masa dan berharap dapat menjangkau nilai eksport sebanyak RM53 bilion pada tahun 2020.

Dalam pada itu Hamzah berkata, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sewajarnya diletakkan di bawah MTIB berikutan skop dan bidang kuasanya yang selari dengan agensi tersebut.

FRIM merupakan agensi di Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli perlu berfungsi sebagai pusat penyelidikan untuk komoditi lain seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Institut Kajian Getah Malaysia (RRIM).

"Jika kelapa sawit dan getah sudah memiliki pusat penyelidikan masing-masing, takkan kita nak tubuhkan pusat penyelidikan baru untuk kayu, maka saya berpendapat adalah wajar bagi FRIM diletakkan di bawah MTIB," katanya.

Namun katanya, keputusan untuk meletakkan FRIM di bawah MTIB belum dibuat lagi dalam masa terdekat ini kerana ia perlu dibincangkan serta mendapat persetujuan dari kerajaan.


Utusan Malaysia 20 Jun 2009


No comments:

Post a Comment