Saturday, June 6, 2009

300,000 pekerja asing di ladang komoditi

KUALA TERENGGANU: Lebih 300,000 orang atau 15 peratus pekerja asing diambil bekerja oleh sektor ladang komoditi utama negara daripada jumlah kira-kira dua juta pekerja asing yang direkodkan sedang bekerja di pelbagai sektor di Malaysia. 

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata demikian semasa berucap merasmikan program ceramah dan pameran kerjaya di sektor perusahaan perladangan dan komoditi di sini baru-baru ini. 

Beliau berkata sektor perladangan dan komoditi masih memerlukan tenaga kerja yang tinggi walaupun pada masa ini telah mempunyai 1.4 juta pekerja atau 12 peratus jumlah keseluruhan tenaga kerja yang hampir berjumlah 11 juta orang.

“Untuk itu, Kementerian mengambil inisiatif menganjurkan siri program ceramah kerjaya ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk pelajar sekolah mengenai peluang kerjaya di sektor ini.” 

“Kita berharap, melalui program ini dapat memupuk dan menarik minat golongan muda menceburi bidang kerjaya di sektor perusahaan perladangan dan komditi setelah mereka dewasa kelak.” 

Pada majlis itu lebih 800 pelajar dan guru dari 16 buah sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Setiu telah menghadiri ceramah yang berlangsung selama dua hari itu.

Datuk Hamzah berkata melalui ceramah, para pelajar akan didedahkan dengan latarbelakang dan peluang kerjaya di bidang agronomi, bioteknologi, kejuruteraan dan keusahawanan yang terlibat secara langsung dengan sektor perladangan komoditi. 

“Malaysia meraih pendapatan eksport komoditi dan produk berkaitannya bernilai RM112.4 bilion pada tahun 2008 dan ini membuktikan ianya adalah penyumbang utama kepada pendapatan negara.” 

“Oleh yang demikian, golongan muda akan didedahkan kerana mereka inilah akan mengambil alih teraju bagi memastikan industri komoditi utama negara ini terus releven dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya. 

Datuk Hamzah menyampaikan sijil penyertaan kepada guru sekolah yang turut menyertai seminar dan pameran anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK). Turut kelihatan Setiausaha Bahagian, Penyelidikan Inovasi dan Modal Insan (PIMI), KPPK, Aknan Ehtook.

“Bagi mendedahkan sektor komoditi utama secara mendalam kepada peserta, mini pameran yang membabitkan komoditi sawit, koko, getah, lada dan kayu-kayan turut diadakan,” katanya. 

Pameran komoditi itu diuruskan oleh agensi terlibat iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Lada Malaysia (LLM) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Berita Sawit

Berita Harin 6 Jun 2009

1 comment:

  1. Penggunaan pekerja asing di ladang-ladang merupakan salah satu faktor peningkatan produktiviti di setiap ladang-ladang di Malaysia pada masa kini....tetapi bagi merealisasikan agenda kerajaan kepada pengurangan pekerja asing di masa hadapan ia perlu diambil sebagai isu utama yang perlu mendapat kerjasama semua pihak termasuk rakyat sendiri di mana rakyat perlu mengambil iniasiatif kepada peluang-peluang yang terbuka luas yang diberi oleh Kerajaan di dalam sektor perladangan bagi kesemua tenaga kerja yang diperlukan di sektor perladangan. Ini akan ditentukan dan dipenuhi oleh rakyat tempatan sendiri. Oleh itu, rakyat perlu mengamati peluang-peluang kerjaya yang terdapat di sektor perladangan yang boleh menjadi sumber pendapatan tetap kepada mereka dan secara tidak langsung, ia akan meningkatkan produktiviti ladang dan meningkatkan ekonomi negara secara"homegrown". Tanah kita, usaha kita, adalah lebih bermakna jika ia dijadikan satu medium kejayaan sesuatu bangsa.

    ReplyDelete