Sunday, May 10, 2009

Petani tembakau perlu beralih tanaman lain

hamzah Zainuddin (tiga dari kanan ) menyampaikan replika cek bantuan ihsan kepada seorang wakil penanam tembakau di Bachok, Kelantan, baru-baru ini

KOTA BHARU 8 Mei - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bimbang dengan sambutan kurang memberangsangkan di kalangan penanam tembakau di negeri ini untuk beralih kepada tanaman lain bagi menyara kehidupan keluarga mereka pada masa depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, mereka seharusnya sudah bersiap sedia untuk berubah ekoran pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang bermula tahun hadapan akan memberi kesan terhadap punca pendapatan selama ini.

Setiap penanam tembakau di negeri ini harus menyedari, pelaksanaan AFTA mulai 1 Januari akan mendorong pengilang memilih tembakau dan produk tembakau dari luar negara kerana kos import jauh lebih rendah berbanding keluaran dalam negara.

''Ketika itu penanam tempatan perlu bersaing dengan penanam tembakau dari Thailand, Indonesia, Kemboja dan Vietnam yang mana ia turut menjejaskan pendapatan berbanding dengan apa yang mereka peroleh ketika ini," ujarnya.

Dengan permintaan yang kecil itu kelak, sebahagian besar keluarga petani terpaksa meninggalkan tanaman tersebut yang selama ini menjadi nadi kehidupan mereka sejak sekian lama.

Justeru kerajaan telah mengarahkan LTN mengambil inisiatif melaksanakan program tanaman integrasi untuk membantu mereka mengusahakan tanaman lain untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Ketika ini difahamkan kurang daripada 100 orang petani yang mula beralih ke tanaman lain dan ini mencakupi keluasan 150 hektar yang kebanyakannya diusahakan dengan kenaf manakala tidak sampai 10 orang bagi tanaman cili menggunakan kaedah fertagasi.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan ihsan kepada 3,453 penanam tembakau yang tanaman mereka rosak akibat hujan lebat pada bulan Mac lepas di Institut Kemahiran Belia Negara di Bachok, baru-baru ini. Masing-masing menerima RM500.

Hujan menjejaskan kawasan seluas 2,874 hektar iaitu 2,609 hektar di Kelantan dan 265 hektar tanaman tembakau di Terengganu dengan kerugian dianggarkan RM16.6 juta manakala nilai kerugian daun diawet hampir RM45 juta.

Katanya, kenaf telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan baru di samping tanaman alternatif lain, justeru bagi menyegerakan pembangunan dan memajukan industri ini, kerajaan telah meluluskan penubuhan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

''Tugas ini agak mencabar kerana semua aspek penanaman, pemprosesan, pengeluaran, pasaran dan khidmat sokongan perlu dikaji terlebih dahulu," ujarnya.

utusan malaysia 9 Mei 2009

No comments:

Post a Comment