Sunday, May 10, 2009

Industri koko perlu hasil produk inovatif, berkualiti


MUHYIDDIN diberi penerangan oleh Bernard sambil diperhatikan Hamzah (kiri) mengenai benih koko selepas merasmikan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia 2009 di ibu negara, semalam.


Harga komoditi di pasaran dunia semakin memberangsangkan 

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu pengusaha yang terbabit dalam pelbagai sektor berasa
skan industri koko meningkatkan inisiatif untuk menghasilkan produk inovatif dan berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan komoditi itu yang semakin meningkat. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasaran industri koko sangat tinggi berdasarkan kepada penggunaan perkapita koko terutama di negara ekonomi baru seperti China, India dan Afrika yang masih rendah iaitu 600 gram setiap penduduk setahun. 

"Satu cara untuk mempromosi coklat Malaysia di pasaran terutama di negara Asia Barat ialah dengan mengeksploitasikan keupayaan dan imej negara sebagai hub halal," katanya berucap merasmikan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia 2009 di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia, Tan Sri Bernard Dompok dan timbalannya, Datuk Hamzah Zainuddin serta Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, memuji program Lembaga Koko Malaysia untuk mewujudkan lebih ramai usahawan berasaskan produk koko di negara ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah lebih ramai usahawan tani. 

Pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa yakin produk koko tempatan mempunyai potensi besar untuk dimajukan berikutan kejayaan ramai pengusaha kecil dan sederhana dalam bidang itu.

"Satu perancangan khusus akan dibuat untuk memajukan industri hiliran membabitkan pengusaha kecil dan sederhana terutama dalam sektor pengeluaran coklat selari dengan Dasar Pertanian Negara untuk mempertingkatkan produk nilai tambah," katanya. 

Beliau juga mahu usaha mengembangkan tanaman koko di negara ini dipertingkat berdasarkan keadaan semasa komoditi itu terutama harga koko yang semakin baik di pasaran dunia sekarang. 

"Kerajaan akan memberi bantuan tanaman baru dan benih yang lebih kepada pengusaha dalam memastikan ia mampu memberikan pulangan lumayan sekali gus menyemarakkan semula bidang ini yang pernah malap satu ketika dulu," katanya. 

Sementara itu, Dompok dalam ucapannya di majlis itu berkata, industri perladangan dan sektor komoditi kekal menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, nilai eksport komoditi dan produk berasaskannya di negara ini mencecah paras RM112 bilion tahun lalu, peningkatan 26 peratus berbanding RM89 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. 

Daripada jumlah itu, katanya, industri koko menyumbang sejumlah kira-kira RM3.4 bilion atau tiga peratus, menjadikannya komoditi ketiga terbesar negara selepas kelapa sawit dan getah.

Berita Harian Sabtu 9 Mei 2009

No comments:

Post a Comment