Monday, May 4, 2009

Berita Sawit


Bernard azam tingkat eksport komoditi


PUTRAJAYA: Tan Sri Bernard Dompok dilantik sebagai menteri baru bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menggantikan Datuk Peter Chin Fah Kui yang berpindah ke Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Tan Sri Bernard Dompok berpengalaman luas dalam kerajaan, pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah. 

"Tan Sri Bernard Dompok,Datuk Hamzah berganding terajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi"

Pada majlis ringkas menerima serahan tugas daripada Peter Chin di sini baru baru ini, Bernard berkata, meningkatkan pengeluaran dan nilai eksport komoditi utama negara adalah menjadi agenda utamanya. 

Beliau berkata, industri komoditi negara perlu meningkatkan produktiviti untuk terus relevan dan mengekalkan daya saing di pasaran global adalah antara cabaran yang dihadapi oleh KPPK.

Turut hadir pada majlis penyerahan tugas itu, Datuk Hamzah Zainuddin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri KPPK; Senator A Kohilan Pillay dan Ketua Setiausaha, KPPK, Datuk Wira Ismail Saleh. 

Bernard berkata, langkah penambahbaikan akan dikenal pasti disamping meneruskan pelaksanaan pelan strategik sedia ada bagi menangani cabaran untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan eksport negara.” 

“Kita akan berusaha meningkat atau mengekalkan pencapaian nilai eksport komoditi pada tahun ini seperti yang dicapai pada 2008 dengan memastikan harga komoditi tidak jatuh.

“Kita juga akan melaksanakan langkah strategik bagi memastikan harga komoditi minyak sawit dan getah berupaya ditingkatkan sekali gus berupaya menjana pendapatan kepada negara,” katanya. 

Pada 2008, Malaysia meraih RM112.4 bilion pendapatan eksport komoditi dan produk berkaitannya serta mencatatkan peningkatan 26.7 peratus berbanding pencapaian berjumlah RM88.7 bilion pada tahun sebelumnya. 

Minyak sawit mencatat pencapaian RM64.8 bilion berbanding komoditi Kayu-kayan (RM22.5 bilion), Getah (RM20.5 bilion), Tembakau (RM1.05 bilion) dan Lada (RM171.5 juta) pada tahun 2008. 

“Strategi peningkatan produktiviti sektor ladang dan kebun kecil akan terus menjadi agenda utama memandangkan produktiviti minyak sawit dan getah masih rendah berbanding dengan potensi sebenar.

“Purata pengeluaran buah tandan segar (BTS) pekebun kecil sawit 14 tan sehektar setahun masih rendah berbanding dengan sektor ladang yang sudah mencapai 26 tan sehektar setahun. 

“Namun begitu pencapaian kedua-dua sektor ini masih rendah jika diambil kira dengan visi 35:25 yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pencapaian pada tahun 2020 nanti, iaitu menghasilkan 35 tan BTS sehektar setahun dan mencapai kadar perahan minyak (OER) 25 peratus,” katanya. 

Beliau turut mensasarkan bagi meningkatkan pengeluaran susu getah kepada 2.8 tan sehektar setahun daripada purata pengeluaran masa ini berjumlah 1.4 tan sehektar menjelang 2012.

Artikel Berita Sawit

Berita Harian Jumaat 1 Mei 2009

BERITA SAWIT .TERBIT PADA SABTU MINGGU PERTAMA SETIAP BULAN(BERITA HARIAN)


No comments:

Post a Comment